Tuesday, May 8, 2012

Community Services

Pada 22 April 2012 yang lalu, saya dan rakan- rakan Bayu Force telah melengkapkan salah satu subjek wajib setiap pelajar UNITAR iaitu Khidmat Masyarakat (UKD2031). Kami telahpun memilih golongan sasaran kami  iaitu seorang warga emas yang hilang tempat bergantung, Pn Nuala dari Kg Muhibbah, Kota Marudu.

Kami memulakan perjalanan ke Kg Muhibbah, Kota Marudu seawal jam 7 setengah pagi dari Kampus UNITAR Kota Kinabalu. Perjalanan pada pagi itu diiringi hujan lebat, petir, guruh dan sedikit kabus disesetengah tempat telah memaksa kami bergerak perlahan kerana keadaan permukaan jalan raya yang tidak berapa mengizinkan kami bergerak dalam kelajuan sepatutnya.Dari satu daerah ke daerah yang telah kami lewati dan beberapa persinggahan untuk mengisi minyak juga telah dilakukan beberapa kali, akhirnya pada jam 10.20 pagi, kami berjaya sampai ke destinasi yang ingin ditujui dengan selamat, iaitu di kediaman Pn Naula, di Kg Muhibbah, Kota Marudu. 

Setelah menjejakkan kaki ke kawasan rumah tempat Pn Nuala berlindung dari hujan dan panas ini, saya secara peribadi tersentuh tatkala melihat seorang wanita separuh abad tinggal bersendirian di rumah yang saya rasakan sedikit using dan agak semak dengan lalang yang panjang di sekitar kawasan tersebut.

Seorang demi seorang naik ke atas rumah Puan Nuala termasuk saya sendiri, bersalaman dengan beliau dan mengambil kesempatan untuk beramah mesra. Ternyata wanita tua yang saya gelar ‘ina’ (nenek) ini, merupakan seorang wanita yang agak peramah dan perihatin dengan kami, kerana asyik menyuruh kami untuk berhati- hati dengan tangga rumah nyang dirasakannya tidak selamat untuk kami gunakan terlalu lama. Saya akui komunikasi antara saya dan sebahagian rakan Bayu Force agak terhad terhadap ina/, kerana bait bicaranya yang menggunakan bahasa ibundanya iaitu bajau. Namun, senyuman dan kegirangan yang dipamerkan diwajahnya merupakan bahasa yang mudah sekali difahami oleh kami semua. Ina' kelihatran sangat senang hati dan gembira, atas kedatangan kami untuk membantunya.

Kami selanjutnya memulakan langkah untuk merealisasikan tujuan kami ke rumah ina'. Kami bersama-sama membersihkan kawasan rumah ina'. Sebahagian dari ahli Bayu Force (BF)berada di bawah bersama Sir Louis, membersihkan halaman dan kawasan sekitar rumah yang didiami ina' ini. Saya dan beberapa orang ahli BF, berada dalam kawasan rumah, mengemas barang- barang, membersihkan dinding, atap, lantai dan dapur. Saya akui agak sedih melihat keaadaan rumah tersebut yang berhabuk, bersawang dan mengalami sedikit kerosakan akibat dimakan anai-anai.

Ketika kami sibuk membersih dan mengemas barang-barang ina', hati kami tersentuh melihat sebuah kotak pembungkus mainan kanak- kanak perempuan. Kami sepakat untuk tidak membuang kotak tersebut dan meletakkanya semula ke tempat asal. Sebahagian masa silamnya mungkin ada pada kotak mainan itu, penuh nostalgia..siapakah pemilikya?

Kami meneruskan kerja-kerjamenyapu dan  membersih, sehinggalah selesai. Debu-debu dan sawangan telah kami hilangkan.  Tikar getah yang usang telah kami gantikan dengan yang baharu. Tempat menjemur kain yang selama ini hanya lintangan buluh juga telah kami gantikan dengan beberapa lintagan dawai dengan simpulan yang lebih selamat, teratur dan kukuh untuk kegunaan ina'. Lantai yang rosak dan bahaya dan usang telah diperbaiki dan diganti sendiri oleh Syed Ashraf (pengerusi), dibantu oleh saya dan beberapa orang sahabat BF sendiri. Dapur yang sempit dan sedikit kotor telah diubahsuai kedudukan barang-barangnya seperti meja, oleh sahabat BF yang lain, lantai dapur juga telah dialas tikar getah, dan dibersihkan agar ina' boleh memasak dengan lebih selesa. Tinjauan saya di sekitar dapur telah menarik minat saya terhadap beberapa jenis barang yang ina' gunakan adalah kreatif dan sebahagiannya  jauh melangkau usia.

Terasa penat bekerja dan lapar, kami silih berganti berehat untuk menikamti juadah makanan tengahari kami. Ada rakan-rakan BF berkesempatan untuk menjamu selera dengan ina' di kawasan verandah rumah tersebut. Sebahagian daripada ahli BF masih bertungkus lumus di dalam rumah, untuk menyiapkan set almarin yangingin kami hadiahkan kepada ina'.

Set almari yang kami hadiahkan kepada ina' pada awalnya mengalami masalah pemasangan. Pemasangan almari tersebut memerlukan proses tertentu dengan menggunakan kayu dan skru yang betul, bantuan daripada ramai pihak untuk memegang, mengasingkan skru dan juga memberikan pasangan papan yang sesuai perlu untuk menjayakannya. Namun, benarlah kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Berkat kerjasama daripada ahli BF, akhirnya set almari yang dahulunya kayu-kayu terpisah telah siap disatuakn dan dipasang. Menyedari kerja kami hamper selesai, rasa sebak sudah mula meresap, namun saya gagahi dengan senyuman yang dipotretkan beberapa kali bersama ina, Sir Louis, dan ahli- ahli BF yang lain serta kain rentang aktiviti kami.

Pada akhir aktiviti, kami menyerahkan sedikit sumbangan berupa keperluan harian seperti beras, makanan dan sabun serta ubat-ubatan sampingan seperti ubat sapu, buat kegunaan ina', sepeninggalan kami nanti. Sebak rasanya, apabila seorang demi seoranng ahli BF beralaman dan meninggalkan ina' menuju ke bas mini yang kami parkirkan dibahu jalan berhadapan rumah ina'. Saya, Marsijan, Fazreen (setiausaha), dan Pengarah menemani ina' menaiki tangga sehingga ke verandah  rumah, diperhatikan oleh Sir Louis dari bawah. Salah satu anak tangga rumah ina' patah dan perlu diperbaiki, saya yang masih belum menuruni tangga terpaksa menunggu sehingga tangga siap dibaikpulih.

Saya berasa amat sedih pada ketika ini kerana teringatkan arwah nenek yang cara berpakaianya hampir sama seperti ina', apatah lagi ina' suda beberapa kali mengesat mukanya dengan kain sentiasa tersangkut dibahunya. Tangan saya sendiri sudah beberapakali diramasnya seolah-olah berasa amat sedih dengan keberankatan kami semua. Setelah tangga selesai dibaikpulih, sekali lagi saya berkesempatan untuk bersalaman, berpelukan dan memohon maaf kepada ina', kerana tersedar banyak dosa yang kami lakukan terhadap ina' hari itu. Kasihan ina', sudah beberapa kali ina' melatah disebabkan flash kamera dan usikan kami. Dari bahu jalan, kami semua melambai-lambai kepada ina'. Kelihatan dari jauh, ina' juga membalas lambaian kami, sayu.

Hujan renyai menemani perjalanan pulang kami ke Kota Kinabalu. Penat tidak terkata, namun hati puas kerana aktiviti kemasyarakatan yang kami lakukan ini berjaya seperti yang dirancang. Syukur ke hadrat Illahi, perjalanan pulang kami selamat, dikesempatan itu juga, kami sepakat untuk makan malam bersama-sama ahli BF, di KFC, 1Borneo, kerana ini merupakan makan malam kami semua yang pertama. Setelah selesai meluangkan masa sesame ahli BF, kami menamatkan aktiviti kami dan pulang ke rumah masing- masing dengan selamat.

Hati saya masih sayu teringat ina yang kami tinggalkan.  Apa khabar agaknya ina'?
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.